Friday, September 29, 2017

ASWARA MENERAJUI SENI DIGITAL TVET

Sesi pembelajaran di Makmal Animasi bersama pelajar antarabangsa


KUALA LUMPUR, 29 September (Bernama) -- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dikenali dengan menawarkan program pengajian seni persembahan seperti muzik, tari, dan teater. Kini, ASWARA juga menawarkan beberapa program pengajian seni digital terutamanya program animasi dan seni permainan digital. Program-program ini ditawarkan di bawah kelolaan Fakulti Animasi dan Multimedia (A&M). Matlamat penubuhan fakulti ini adalah untuk melahirkan graduan khusus dalam bidang animasi dan seni permainan digital yang berkualiti dengan menerapkan nilai seni warisan serta teknologi moden.
 
Fakulti A&M menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyemarakkan pendidikan berasaskan Technical and Vocational Educational and Training (TVET) terutamanya dalam bidang seni digital; animasi dan pembangunan permainan video. Pembelajaran secara amali mengikut aliran gerak kerja industri meningkatkan kemahiran, profesionalisma, dan kematangan sewaktu belajar lagi. Fakulti A&M amat mengutamakan pembelajaran secara amali dengan menyediakan makmal-makmal komputer bertaraf profesional yang boleh digunakan oleh setiap pelajar seharian. Pembangunan fasiliti-fasiliti di fakulti ini telah disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan menyalurkan Dana Pembangunan Multimedia dan Animasi kepada ASWARA. Dana ini disalurkan untuk menjadikan ASWARA sebagai Hub Animasi demi memberi latihan kepada anak-anak muda dengan harga yuran pembelajaran yang amat kompetitif. Inisiatif kerjasama antara ASWARA dan MCMC bertujuan meringankan beban rakyat Malaysia untuk belajar kesenian digital yang sering menerima perspektif rakyat bahawa pembelajaran seni digital biasanya mahal kerana terpaksa membeli peralatan komputer berprosesan tinggi, perisian khas, stylus, dan sebagainya.
 
Di Fakulti A&M, program pengajian yang ditawarkan termasuklah Diploma Animasi, Ijazah Sarjana Muda Animasi dengan Kepujian, dan Ijazah Seni Permainan Digital dengan Kepujian. Program-program pembelajaran yang unik ini dibina secara teliti bersama pakar-pakar industri, pendidik universiti, dan persatuan industri bagi melahirkan graduan yang komprehensif. Antaranya, struktur program seni permainan digital dipantau oleh seorang pengarah seni, Electronic Arts yang merupakan syarikat gergasi permainan video di dunia. Sistem pendidikan di ASWARA mengamalkan penyampaian pembelajaran kaedah studio yang kebiasaannya diajar oleh penggiat industri. Penglibatan industri di institusi haruslah erat supaya dapat mengisi jurang keperluan modal insan yang dihasilkan.
 
Demi memperkukuhkan pembelajaran berpandukan TVET, penglibatan institusi dengan projek-projek semasa di industri haruslah aktif. Fakulti A&M telah menerima dana antarabangsa daripada ASEAN untuk membina penceritaan alam simulasi Melaka tahun 1511 pada platform virtual reality. Pembangunan projek ini melibatkan kerjasama antara pakar industri, penyelidik, sejarawan, dan pelajar-pelajar ASWARA. Penerapan projek menggalakkan pembelajaran secara bermasalah (problem-based learning) di dalam kumpulan dapat meningkatkan kematangan berfikir serta budaya profesionalisma yang diperlukan setelah graduan.
 
Sebagai institusi seni negara, ASWARA mengutamakan pendidikan secara praktikal yang setara dengan panduan TVET. Pembelajaran yang memberi pelajar ruang dan masa untuk menguasai bidang yang dipantau oleh penggiat industri merupakan formula kejayaan kebolehpasaran graduan. Penglibatan projek-projek semasa antarabangsa dapat meningkatkan kebolehan survival pelajar bekerja di syarikat persada dunia. Melahirkan modal insan seni berkualiti dapat mengukuhkan reputasi negara bukan sahaja melahirkan karyawan berkualiti malah membangunkan ekonomi baharu untuk negara.
 
SUMBER :  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Malaysia
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : Prof. Dato’ Dr. Ir. Mohd. Rizon Juhari 
Rektor, 
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Malaysia
Tel : 03-2697 1790 
Emel : rizon@aswara.edu.my
 
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment