Wednesday, September 13, 2017

Perhebat Promosi Tanaman Padi Aerob - Ismail

SERDANG, 12 Sept (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu memperhebatkan promosi penanaman padi aerob (MRIA 1) sebagai inisiatif jangka panjang mendepani isu bekalan makanan kesan perubahan iklim, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata jika kelebihan varieti baharu padi yang kurang menggunakan air dalam proses penanamannya serta boleh ditanam di kawasan tanah bukit itu difahami dengan lebih mendalam khususnya oleh petani, pemilihan penanaman padi jenis itu berupaya membantu meningkatkan pengeluaran padi negara pada masa hadapan.

"Cara baharu penanaman padi ini perlu diperluas dengan menampilkan maklumat dan hasil kajian yang konklusif untuk membolehkan ia diterima oleh petani sebelum kaedah itu boleh disebarluaskan.

"Dengan kadar pengeluaran padi negara sebanyak 2.74 juta metrik tan pada 2015 atau purata 4.01 peratus per hektar, jumlah tersebut nyata perlu dipertingkatkan bagi menampung pertambahan penduduk Malaysia yang dianggarkan melebihi 40 juta menjelang 2050 daripada 32 juta orang ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan "Regional Workshop on Protected Cultivation on High-Value Crops under Changing Climate Conditions" di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Ismail berkata varieti padi MR219 dan MR232 yang menjadi pilihan majoriti pesawah ketika ini mungkin tidak lagi berdaya maju pada masa terdekat, jika mengambil kira perubahan iklim yang sedang berlaku secara ekstrem.

Beliau berkata simulasi tanaman padi yang dijalankan menunjukkan kenaikan suhu bumi sebanyak dua darjah selsius mampu mengurangkan hasil sebanyak 13 peratus, manakala banjir atau kemarau di peringkat awal pertumbuhan padi boleh menurunkan hasil sehingga 80 peratus.

"Walaupun sudah dikomersialkan, penanaman padi aerob perlukan kepada satu projek rintis yang benar-benar konklusif dari segi hasil, kebaikan dan kelebihan sebelum menggalakkan lebih ramai pesawah menanamnya," katanya.

Ismail berkata projek rintis penanaman padi aerob yang telah dijalankan di tiga negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu pada 2005 kini telah dikembangkan ke Johor, Sarawak serta Kedah di mana permintaan benih padi aerob di negeri Jelapang Padi itu yang berjumlah tujuh tan semusim ketika ini dijangka meningkat kepada 10 tan semusim tahun depan.

Penanaman padi aerob merupakan satu teknologi pengeluaran padi inovatif yang didapati mampu menjimatkan penggunaan air sehingga 50 peratus berbanding penggunaan air untuk tanaman padi sawah, boleh dituai dalam tempoh 90 hari selain boleh ditanam tiga kali setahun dengan anggaran pengeluaran antara 3.5 tan hingga empat tan untuk setiap hektar.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment