Tuesday, September 26, 2017

​YAYASAN DANGOTE, GBCHEALTH, BEKERJASAMA MEMBINA GABUNGAN UNTUK KESIHATAN




NEW YORK, 25 Sept (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Yayasan Dangote (www.Dangote.com) dan GBCHealth telah melakukan usahasama bagi membentuk sebuah model perkongsian baru iaitu Gabungan Perniagaan untuk Kesihatan Warga Afrika (GBCHealth) di Afrika.

Pengerusi Yayasan Dangote, Aliko Dangote, berkongsi rancangan untuk membina Gabungan Perniagaan untuk Kesihatan Warga Afrika (ABCHealth), semasa Forum Perniagaan Global Bloomberg, yang diacarakan bersama olehnya, yang berlangsung serentak dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu ini di New York.

Menurutnya, perkongsian daripada syarikat dan dermawan pimpinan Afrika ini, bermatlamat untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan warga Afrika, sama ada di pejabat mahupun di kalangan komuniti yang meluas. Beliau menyatakan bahawa usahasama ini akan membangunkan dan menjalankan program kesihatan yang berkesan di seluruh Afrika, menambahkan ilmu pengetahuan, membina asas yang kukuh untuk pelaburan masa hadapan dan menguatkan kerjasama di antara dermawan, peneraju perniagaan, syarikat serta rangkaian perniagaan tempatan di Afrika.

Gabungan ini dibina berlandaskan kepimpinan, reputasi dan kuasa tarikan Yayasan Aliko Dangote serta pengalaman, reputasi dan capaian global GBCHealth. Isu utama yang akan menjadi fokus perkongsian ini merangkumi perihal pemakanan sehingga malaria, dengan keutamaan telah dikenal pasti dan dipersetujui oleh pemimpin tempatan.

Melalui Yayasan beliau, Dangote telah meluluskan derma sebanyak US$ 1.5 juta, sesuatu yang belum pernah berlaku, dalam tempoh masa tiga tahun sebagai langkah awal dan memberitahu komuniti perniagaan Afrika tentang kepentingan untuk bekerjasama dan melabur dalam sektor kesihatan.

“Inilah masa yang sesuai bagi sektor swasta untuk secara proaktif menunjukkan nilai mereka dalam berkerjasama bagi membentuk era baru pembangunan,” ujar Dangote. “Gabungan ini boleh membekalkan panduan yang amat diperlukan dalam memastikan aktiviti dan pelaburan memacu kesan di kawasan di mana sektor swasta boleh memberikan impak sebenar, dengan memfokus pada penyelesaian yang bersepadu dan holistik yang merentasi sempadan. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan peneraju perniagaan lain sebagai rakan kongsi dalam pembangunan untuk memacu impak ini.” 

No comments:

Post a Comment