Tuesday, September 26, 2017

EASTSPRING ISYTIHAR AGIHAN PENDAPATAN BAGI EASTSPRING INVESTMENTS DANA DINAMIK

KUALA LUMPUR, 26 Sept  (Bernama) –  Eastspring Investments Bhd mengisytiharkan agihan pendapatan kasar 0.0446 sen seunit bagi dana saham amanah patuh Syariahnya, Eastspring Investments Dana Dinamik.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua pemegang unit yang mengekalkan pegangan unit mereka dalam dana tersebut pada sehingga 25 Sept, 2017, akan layak menerima agihan pendapatan itu.

“Di Eastspring Investments, kami mempunyai prospek positif bagi ekonomi Malaysia bagi tahun ini dipacu oleh peningkatan aliran perdagangan, penggunaan swasta domestik dan perbelanjaan modal. 

“Keseluruhannya, kami merasakan kekuatan ekonomi negara berada dalam kedudukan baik dan penilaian pasaran juga tidak mahal. Kami percaya masih ada peluang di luar sana dan pemilihan saham yang baik merupakan kunci untuk mencatatkan prestasi lebih baik,” kata Ketua Pegawai Pelaburannya, Rudie Chan.

Eastspring Investments merupakan satu daripada syarikat pengurusan aset utama di Malaysia dalam sektor institusi dan runcit, dengan aset di bawah pengurusan bernilai lebih RM40 billon di negara ini sehingga 30 Jun, 2017.


-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment