Thursday, September 28, 2017

LZS Lancar Kempen '8 To 8' Untuk Tingkatkan Bayaran Zakat

SHAH ALAM, 27 Sept (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen '8 To 8' yang bertujuan menggalakkan pekerja membuat bayaran zakat menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) sekurang-kurangnya RM8 seorang bagi membantu lapan golongan asnaf di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Hussin Mohd Ali berkata kempen itu juga sebagai satu usaha untuk menggalakkan pembayar zakat sedia ada supaya menambah caruman zakat mereka mengikut jumlah pendapatan tahunan masing-masing.

"Menerusi kempen yang bertemakan ?Berbahagia dengan Memberi', kita mahu memberi galakkan kepada pekerja kerajaan mahupun swasta di seluruh Selangor untuk membayar dan menambah caruman zakat mereka sekurang-kurangnya serendah RM8 seorang bagi menyantuni lapan golongan asnaf termasuk fakir, miskin dan mualaf di negeri ini.

"Kempen ini telah bermula pada 15 Ogos lepas dan akan berakhir pada 31 Dis tahun ini, setiap penyertaan sepanjang kempen ini melayakkan pembayar atau pencarum zakat memenangi hadiah istimewa daripada LZS," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di sini, hari ini.

Beliau berkata pada tahun lepas, LZS telah mengutip bayaran zakat berjumlah RM287.3 juta dengan membabitkan 180,000 pembayar zakat Selangor menerusi skim potongan gaji.

Hussin berkata menerusi kempen itu pihaknya juga akan mempergiatkan usaha dengan cara turun padang bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat untuk terus berzakat dalam membantu kumpulan asnaf di negeri ini.

"Kita akan pergiatkan kempen bayaran zakat menerusi SPG ini mengikut sektor yang mana akan bertumpu kepada kakitangan kerajaan kerana mengikut rekod LZS, 80 peratus pekerja yang membayar zakat menerusi skim ini adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan yang bekerja di negeri ini.

"Sebelum ini kita telah mendekati warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana di Selangor sahaja kita mempunyai kira-kira 14,000 anggota dan pegawai polis dan daripada jumlah itu 6,000 merupakan pembayar zakat menerusi skim berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Hussin berkata mereka yang berminat untuk menyertai kempen itu boleh berbuat demikian dengan mentaksir semula jumlah bayaran zakat masing-masing di 27 cawangan LZS seluruh Selangor atau mengisi borang kebenaran secara dalam talian di https://espg.zakatselangor.com.my.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment